Kelunakan kicauan serta aksi 'galak' yang ditunjukkan oleh seekor burung candik di dalam sangkarnya, mungkin dianggap perkara biasa bagi sesetengah orang yang tidak tahu keistimewaan unggas itu.
Namun bagi penggemar burung candik, suara dilontarkan serta aksi galak yang ditunjukkan oleh burung itu, dianggap terlalu istimewa dan mempunyai harga tidak ternilai.
Dalam menilai seni suara burung candik ini, terdapat sedikit perbezaan dengan seni suara burung-burung lain kerana burung ini mempunyai pelbagai 'air suara' dan disebabkan itulah, para pengadil perlu memberikan tumpuan penuh dalam proses pengadilan. Selain suara, turut diambil kira dalam proses penilaian ialah aksi galak yang ditonjolkan oleh burung tersebut
Keunikan yang ada pada burung candik menyebabkan aktiviti membela burung itu yang suatu ketika dahulu hanya untuk mengisi masa lapang di kalangan penduduk kampung, kini menjadi hobi pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan elit.
Pelbagai langkah perlu dilakukan ke atas burung terbabit antaranya faktor pemakanan yang teratur termasuk pengambilan ubat-ubatan dan vitamin untuk menjamin burung mampu mengeluarkan bunyi yang merdu dan lunak serta meningkatkan kesihatan unggas itu. Burung-burung perlu dimandikan setiap dua kali sehari untuk memastikan ia sentiasa segar dan sihat serta bebas daripada sebarang penyakit
Tidak semua burung mampu menghasilkan suara yang baik kerana ia turut ditentukan oleh faktor genetik. Selain itu, burung juga perlu dilatih dari segi keupayaan mengeluarkan lenggok, getaran suara dan sebagainya mengikut kriteria pertandingan,"
(sumber :© Utusan Melayu (M) Bhd )